Sunday, November 19, 2006

WANITA-PELIHARALAH DIRIMU.....

Golongan Muslimah masa kini sudah semakin hebat dan boleh dikatakan setaraf pencapaiannya (dari segi pekerjaan dan pendidikan) dengan kaum lelaki. Bilangan wanita yang bergelar ketua dalam jabatan-jabatan sama ada kerajaan mahupun swasta turut meningkat. Kemampuan mereka mengetuai sesuatu tugasan tidak harus dipertikaikan lagi. Justeru martabat Muslimah semakin diiktiraf oleh banyak pihak.

Walau pun mengenakan pakaian yang dituntut oleh agama, kredibiliti mereka sebagai wanita berkerjaya terus dihormati. Meskipun demikian sebagai wanita berkerjaya, tidak dinafikan kadangkala kita berhadapan dengan dilema semasa membuat urusan berkiatan tugas. Pergaulan dan percampuran antara lelaki dan wanita seolah-olah menjadi satu kebiasaan pada masa sekarang. Adakah demi wang dan kedudukan tinggi dalam membina kerjaya, wanita sanggup mengetepikan tuntutan agama?

Seorang Muslimah harus merenungi peringatan Rasulullah yang menyuruh wanita menilai lagi diri, memperhatikan tingkah laku dan perbuatan. Harus benar-benar yakin bahawa apa yang dilakukan adalah sesuatu yang diredai oleh Allah s.w.t.

Kadangkala ketika sedang berurusan mengenai kerja, contohnya bertemu dengan pelanggan dan sebagainya, perbuatan berjabat tangan dengan lelaki bukan mahram kerap berlaku. Jangan jadikan urusan tugas sebagai alasan membolehkan kita bersentuhan kulit dengan lelaki yang tidak dihalalkan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

"Lebih baik ditusukkan sebatang jarum dari besi ke kepala seorang laki-laki daripada ia menyentuh wanita yang tidak dihalalkan baginya."
(Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi).


Dalam hadis ini terkandung ancaman yang sangat keras bagi laki-laki yang menyentuh seorang wanita yang tidak dihalalkan baginya. Memang di sana ada beberapa keadaan yang dibolehkan bagi seorang laki-laki untuk menyentuh wanita meskipun bukan mahramnya, seperti doktor yang harus mengubatinya kerana tidak ada seorang wanita yang dapat melaksanakan tugas doktor tersebut.

Berjabat tangan bagi mereka merupakan alat dan permulaan cubaan. Setiap orang yang berakal tentu akan menyedari kesan buruk yang diakibatkan oleh berjabat tangan antara laki-laki dan wanita serta pengaruhnya dikemudian hari.

Maka Islam hendaklah menutup jalan yang boleh menimbulkan akibat lebih parah lagi. Hukum ini hanya berlaku bagi orang yang bukan mahram. Sedangkan mahram seperti ayah, saudara atau lain-lain dibolehkan duduk bersama atau berjabat tangan bahkan kerana kecintaan Nabi s.a.w. terhadap Fatimah yang amat mendalam, beliau merangkulnya dan memeluk kepalanya setiap kali beliau tiba dari suatu perjalanan. Kisah serupa juga dilakukan oleh Abu Bakar terhadap puterinya, Aisyah.

Mungkin ada sesetengah Muslimah yang meremehkan perbuatan ini. Untuk itu, ingatlah selalu perkataan Rasulullah kepada Aisyah: "Wahai Aisyah, jauhilah perbuatan-perbuatan yang remeh, dalam suatu lafaz disebutkan:' Dosa-dosa, kerana ada yang dituntut terhadap hal itu daripada Allah."

Ingatlah perkataan seorang tabi'in, Bilal bin Sa'd:

"Janganlah kamu memandang kecilnya kesalahan, tetapi pandanglah siapa yang kamu derhakai."


Semoga Allah memberikan jalan kemudahan untuk mencapai apa -apa yang Dia kehendaki dan hendaklah engkau berpegang teguh kepada ketakwaan. Maka bertawakallah kepada Allah dalam kaitannya dengan amal dan perkataanmu. Berpeganglah kepada ketaatan kepada-Nya agar engkau mendapat redha-Nya pada suatu hari yang harta dan anak-anak tidak meberi manfaat kepadamu...

0 comments: