Sunday, July 10, 2011

BULAN SYA'BAN

PERISTIWA DI BULAN SYA'BAN
1- Malam Nisfu Sya'ban pada 14 Sya'ban
2- Penukaran kiblat dari masjid Al-Aqsa di Baitul Muqaddis ke Ka'bah di Masjidil Haram pada 15 Sya'ban
3- Peperangan Bani Mustalik pada bulan sya'ban 5 hijrah

KELEBIHAN BULAN SYA'BAN

1. Sabda Nabi S.A.W apabila masuk bulan sya'ban baikkan lah niatmu padanya,kerana sya'ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. (al-hadis)

2. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan sya'ban,diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka,dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusof di dalam syurga.Diberi pahala seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Daud.Jika ia sempurnaka puasanya sebulan bulan sya'ban,dipermudahkan atasnya sakaratul maut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan kubur,dilepaskan daripada huru-hara mungkar dan nakir,ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan baginya syurga. (al-hadis)

3. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan sya'ban dan akhir khamis pada sya'ban dimasukan ia ke dalam syurga.

4. Sabda Nabi S.A.W bahawa ;Sya'ban adlah bulanku dan ramadhan adalah bulan umatku, dan sya'ban ialah mengkifaratkan (menghapus) dosa dan ramadhan ialah menyucikan dosa.


READ MORE

Tuesday, July 5, 2011

BACALAH WAHAI KAUM HAWA !!!!!

Khusus untuk renungan dan hisbah semua..
Semoga Allah meletakkan secebis hidayahNya ke dalam hati kita....

Hawa, Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam, kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka.

Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam bila sinar islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita terpelihara, kita dihargai dan di pandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah. Wahai Hawa, Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan islam itu? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya, kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya?


Wahai Hawa, Tangan yang mengoncang buaian bisa mengoncang dunia, sedarlah hawa kau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah, kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan islam di mata dunia.

Tapi hawa jangan sesekali kau cuba mengoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang di eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam. Hawa, Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa, Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah hawa janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan mengadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan.. takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa, lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa, jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.

Hawa, Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga.

Hawa, Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang mengoncang buaian ini bisa mengoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi. Jangan sesekali tangan ini juga yang mengoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.

READ MORE

TIDUR MENURUT AL-QURAN,SUNNAH DAN SAINS

Dan Dialah yang menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirahat, dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki)” Al-Furqan:47

Ayat di atas menjelaskan, badan manusia mempunyai sistemnya yang tersendiri. Sistem ini menyebabkan kita mengantuk dan kurang bertenaga pada waktu malam dan cergas pada waktu siang. Ia dikawal oleh hormon-hormon. Sistem ini dikenali sebagai pusingan biologi atau biological rhythm. Kadangkala ia dinamakan sebagai circadian rhythm

FISIOLOGI PUSINGAN BIOLOGI
Pada waktu malam, badan manusia, melalui kelenjar pineal, mengeluarkan sejenis hormone yang bernama melatonin. Hormon ini mempengaruhi bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus. Ia menyebabkan kita tidur. Apabila kita tidur pada jam 10.00 malam dan terjaga pada jam 6.00 pagi, kadar melatonin berada pada tahap optimum dalam darah pada jam 1.30 hingga 2.00 pagi. Selepas itu, kadarnya menurun dan ia berada pada tahap paling rendah apabila bangun daripada tidur pada jam 6.00 pagi.

Pada waktu siang, semasa kita aktif melakukan pelbagai aktiviti, hormone kortisol mempengaruhi kita. Hormon ini berfungsi melajukan jantung dan pernafasan pada waktu siang. Hormon kortisol juga dikenali sebagai hormone stress kerana ia berada pada tahap yang tinggi apabila individu mengalami tekanan. Hormon ini mula keluar pada waktu malam lebih kurang jam 1.00 hingga 2.00 pagi, semasa kita sedang nyenyak tidur, sebagai persiapan bagi menghadapi waktu siang. Pengeluarannya memuncak apabila bangun daripada tidur.

Daripada sudut pusingan biologi, waktu yang dianggap paling produktif adalah antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Gunakan waktu ini bagi melakukan kerja-kerja utama dalam hidup kita. Selepas itu, pada waktu tengah hari dan awal petang, badan kita akan menjadi lesu dan lemah. Para saintis menamakan fasa ini sebagai a midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate. Jika mempunyai kesempatan, tidurlah sekejap pada waktu ini.

Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur pada waktu tengah hari adalah Dr. William A. Anthony (Ph.D) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art of Napping at Work. David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini. Kajian menunjukkan, mereka yang secara rutin tidur selama 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30% lebih rendah berbanding mereka yang lain. Hal ini disebutkan oleh David S. Sobel, M.D., dalam artikel Healthy Pleasures dalam Mind I Body Health Newsletter (Online), terbitan 1989. Daripada sudut sunnah, tidur pada waktu tengah hari dikenali sebagai qailulah dan sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Selepas itu, kita akan memasuki fasa produktif yang kedua antara jam 8.30 hingga 10.30 malam. Kita boleh merancang menggunakan waktu ini untuk membaca dan merancang sebelum berehat untuk tidur.

Apa yang dipaparkan ini adalah penerangan ringkas bertujuan membantu kita mengenali mesin yang sedang bekerja di dalam diri kita. Kita boleh menggunakan maklumat ini bagi merancang aktiviti setiap hari. Walau bagaimanapun, ada pelbagai factor lain yang mempengaruhi kecergasan serta focus seperti status kesihatan, persekitaran, pemakanan dan yang seumpamanya. Kita perlu juga memahami factor-faktor ini supaya akhirnya kita dapat meledakkan potensi sehingga tahap optimum.

TIDUR SEBAGAI IBADAH
Tidur perlu dijaga kerana ia adalah ibadah. Ia perlu dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai ibadah. Berhubung dengan ini, Imam Bukhari dan Muslim menceritakan, “Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur.”

Semasa tidur, sel-sel di dalam badan melalui proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal di Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio, menjelaskan, semasa tidur badan mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi memperbaiki sel-sel yang rosak. Mengambil arak ataupun minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada waktu siang. Hal ini disebutkan oleh Roxanne Khamsi dalam artikel Experts Attest to Benefits of Sleep, dalam The Cavailer Daily, Inc, University of Virginia bertarikh 4 Mac, 1999.

Penyimpanan maklumat jangka masa panjang atau long-term memory di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Mereka yang suka tidur lewat mengganggu proses penyimpanan maklumat ini. Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam menjejaskan pusingan biologi individu dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca. Di samping itu, ia menyebabkan letih pada waktu yang tidak menentu pada waktu siang.

Tidur memantapkan system darah dan jantung. Dr. Tom Mackay, seorang pakar berhubung penyakit-penyakit system pernafasan di Pusat Tidur Kebangsaan, Edinburgh Royal Infirmary, Scotland merumuskan, kurang tidur menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku di dalam badan. Keadaan ini meningkatkan risiko individu menghidap penyakit kencing manis, jantung dan strok.

Tidur juga memantapkan system pertahanan badan. Kajian menunjukkan, individu yang tidur 3 hingga 4 jam kurang daripada kadar biasa mengalami tekanan atau stress. Ini melemahkan system pertahanan badan dan menjadikannya mudah dijangkiti kuman. Penemuan ini dilaporkan di dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober, 1999.

Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur secara optimum pada waktu malam? Keperluan tidur individu berbeza dengan individu lain. Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Barah Amerika, mereka yang tidur kurang dari lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam.

NABI DAN PUSINGAN BIOLOGI
Secara tidak langsung, nabi mengambil kira kehendak pusingan biologi apabila baginda menyuruh para sahabat melayani keperluan badan. Beliau sendiri melayani hak dan keperluan jasad bertujuan menyihatkan diri sebagai persiapan untuk beribadah. Pada suatu masa, terdapat para sahabat yang tidak mahu tidur dan tidak mahu berkahwin. Ada pula sahabat yang berazam untuk berpuasa secara berterusan.

Berhubung dengan perkara ini, nabi berkata: “Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.” Hadis ini dijelaskan oleh Bukhari dan Muslim.

Pada masa lain, nabi pernah memasuki masjid dan ternampak seutas tali merentangi dua tiang. Beliau diberitahu tali itu kepunyaan Zainab yang berpaut padanya apabila letih selepas melakukan sembahyang. Nabi terus berkata, “Bukalah tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur.” Hadis ini dinyatakan oleh Bukhari dan Muslim.

Tambahan daripada itu, nabi melayani fasa yang diistilahkan oleh saintis hari ini sebagai a midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate, dengan melakukan qailulah. Dalam fasa ini, yang berlaku pada waktu tengah hari dan awal petang, badan individu akan menjadi lemah. Di dalam kitab Misykatul Masabih oleh Fazlul Karim disebutkan, “Tidurlah sekejap di waktu tengah hari atau qailulah bukanlah suatu perbuatan yang keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.”

Petikan daripada buku Tip-tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin (Cemerlang dengan Memanfaatkan Pusingan Biologi)

READ MORE

Monday, July 4, 2011

KIASAN DALAM DAKWAH RASULULLAH S.A.W

Rasulullah s.a.w sering menggunakan uslub yang bervariasi dalam menyampaikan satu-satu mesej kepada para sahabat dan umat baginda.Antara uslub tersebut, ada yang menggunakan unsur alam sebagai perumpaan dan kiasan.

Berikut adalah sebahagian contoh kiasan dan maksudnya sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabda Baginda yang releven hingga kini.

ORANG YANG BERILMU
diumpama dengan air mata yang mengalir sesebuah negeri.Ummah pasti akan mendapat manfaat daripada orang yang berilmu.

ORANG YANG BERJUDI
diibaratkan seprti berwuduk dengan nanah dan darah babi lalu mengerjakan solat.Kemudian dia berangan-angan Allah akan menerima amalannya.

ORANG YANG SOLAT TETAPI TIDAK SEMPURNA
rukuk dan sujudnya diibaratkan seperti orang yang sedang lapar tetapi tidak makan kecuali hanya satu atau dua suap sahaja.

PERUMPAMAAN RASULLULAH DALAM BERDAKWAH
adalah seperti seorang majikan yang membina rumah dan membuat jamuan,kemudian mengutuskan seorang penyeru untuk mengundang orang ramai utuk menghadiri jamuan di rumahnya.
Majukan = Allah
Jamuan = Syurga
Penyeru = Rasulullah s.a.w

ORANG MUNAFIQ
yang membaca al-quran ibarat rayhanah;berbau harum tetapi rasanya pahit.Manakala orang munafiq yang tidak membaca al-quran diibaratkan seperti buah hanzalah yang pahit rasanya dan langsung tidak berbau wangi.

SOLAT LIMA WAKTU
dikiaskan dengan seseorang yang mengalir di hadapan rumahnya sebatang sungai dan mandi lima kali sehari hingga tiada lagi daki-daki melekat dibadannya.

ORANG MUKMIN YANG SALING MENGASIHI
dan menyayangi kerana ALLAH ibarat satu tubuh.Apabila sakit satu bahagian,maka seluruh bahagian juga akan sama merasai sakit,seperti tidak bermaya,tidak dapat tidur dan sebagainya.

READ MORE

video

READ MORE

" KEBENARAN DALAM ISRA’ MIKRAJ "

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “ Kebenaran dalam Isra’ Mikraj ” .


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita kini berada di bulan Rejab. Bulan yang telah berlaku suatu peristiwa penting iaitu Isra’ dan Mikraj pada tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dalam menjalankan diri Rasulullah SAW dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis di Palestin dan seterusnya Nabi SAW diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT dan menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”

Peristiwa ini menguji tentang keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasaan Allah SWT serta bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, kerana bagi pandangan orang-orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya. Tetapi bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap percaya dengan penuh keimanan dan keyakinan serta memperakukan kebenaran peristiwa tersebut seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dalam mempercayai Allah dan Rasul-Nya sehingga beliau digelar “as-Siddiq” yang membawa maksud orang yang benar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sepanjang perjalanan Isra’ dan Mikraj yang ditemani oleh Jibril, Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia sama ada yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang mengembirakan dan ada yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah SAW diperlihat satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka. Kata Jibril itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami. Persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya golongan ini?. Mengikut pandangan ulama golongan ini ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan cara yang halal dan mereka ini tergolong dikalangan yang dicela serta tidak berjaya samada dalam kehidupan dan cita-citanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 1-6:
Maksudnya:“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia .Mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu . Mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Budaya hidup berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina. Hukuman keras ini amat waras kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri, maruah dan moral manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Rasulullah SAW berpesan bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah ramai orang yang jahil terhadap agama serta arak dan zina bermaharajalela. Mereka tahu tentang hukum haramnya namun masih tetap melakukan, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan dilakukan secara terang-terangan. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh al-Tabarani yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai, Aku bertanya, Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab Baginda: Ya, nescaya akan terjadi. Di Padang Mashyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki ke atas langgit, mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup di dunia mereka ini berbuat zina, suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia bukannya takut kepada Allah SWT. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini.

Dalam satu hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegur orang yang berzina, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah: mereka yang melakukan homoseks, mereka yang melakukan kahwin tangan (onani), mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang, mereka yang melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat). mereka yang berkahwin antara ibu dan anak. mereka yang berzina dengan isteri jirannya dan mereka yang mengganggu jirannya.”(Riwayat al-Tabrani).

Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun perlepasan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu melalui pasangan yang sah yang diikat dengan perkahwinan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak sah pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan.

Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
Bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

Serangan gejala sosial dan keruntuhan moral dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadang-kala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar amat yakin sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa ini bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Bersempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah kemaksiatan, sedar dan insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita yang mendatang akan diberkati oleh Allah SWT. Mimbar juga menyeru marilah sama-sama kita mendidik dan membangunkan anak-anak serta keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan kebenaran Isra’ dan Mikraj.

Mimbar mengambil kesempatan pada khutbah minggu ini untuk menyeru seluruh umat Islam sekalian agar bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati pada masa ini. Mimbar juga mengajak umat Islam sekalian agar mengelak diri dari terlibat dengan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara seperti perhimpunan haram dan sebagainya.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 60:
Maksudnya: “Dan tiadalah kami menjadikan ( pada malam Mikraj ) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia ; dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat didalam al-Quran; dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak manambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau. ”

READ MORE

Bulan Sya'ban: Persediaan Menuju Ke Madrasah Ramadhan

Bulan Sya'ban adalah bulan yang kelapan dalam hitungan bulan-bulan Islam (bulan Hijriah). Sya'ban bermaksud bercerai/pecah. Diriwayatkan bahawa masyarakat Arab pada bulan ini berserakan di merata-rata tempat untuk mencari air kesan dari kemarau yang panjang. Sya’ban merupakan bulan agung dalam taqwim Islam selain Rejab dan Ramadhan. Ini di antara bulan-bulan Hijriah yang mempunyai keistimewaan tersendiri samada dari segi peristiwa atau sejarah dan ganjaran beribadah padanya.Sya’ban dijanjikan Allah pelbagai kelebihan dan kenikmatan kepada hambanya yang bijak mengambil kesempatan untuk beribadah dalam bulan tersebut. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Barangsiapa yang mengagungkan bulan Sya'ban, bertaqwa kepada Allah SWT, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah SWT akan mengampun semua dosanya dan menyelamatkannya dalam satu tahun dari segala bencana dan penyakit".

Ibadah yang dianjur dalam bulan Sya'ban

1. Keutamaan berpuasa: Sayidatina A'isyah r.a. berkata:" Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari bulan Sya'ban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh dan besabda:"Lakukanlah apa amalan yang termampu kerana Allah tidak pernah merasa jemu sehingga kamu yang merasa jemu".

2. Nisfu Sya'ban: Sabda Nabi SAW: Berjagalah kamu pada malam Nisfu Sya’ban bersembahyang, beribadah dan puasa kamu pada siangnya. Allah SWT berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya adakah orang yang ditimpa bala maka aku a’fiatkannya adakah orang yang meminta rezeki maka aku rezekikanya. Pada awal Nisfu Sya'ban iaitu pada awal malam 14 Sya'ban kebiasaan sebahagian umat Islam terutama di Malaysia; mereka akan berkumpul di masjid dan surau untuk membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan bacaaan pertama memohon supaya dipanjangkan umur dalam ketaatan kepada Allah SWT. Bacaan kali kedua memohon supaya dihindar dari segala bahya dan bencana. Manakala, bacaan kali ketiga mengharap supaya menjadi hamba Allah yang tidak berhajat kecuali hanya kepadaNya.

3. Mempertingkatkan amalan ibadah: Bulan yang mulia di sisi Islam ini menjadi kesempatan untuk kita mempergandakan lagi amalan-amalan sunat harian kita sebagai seorang muslim mukmin. Memperbanyakkan istighfar, berzikir, membaca Al-Quran, bersedekah serta memohon taubat kepada Allah SWT.

Sya’ban sebagai bulan persediaan menyambut dan mengagungkan Ramadhan. Individu yang merebut peluang ini akan merasai kehadiran Ramadhan sebagai suatu yang amat dinanti dan dirindui. Oleh itu, doa Rasulullah s.a.w ketika datang bulan Rejab;
اللهم باركلنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan pertemukanlah kami (panjangkan umur kami sehingga dapat berjumpa) dengan Ramadhan.” Dan kita juga dapat teruskan doa ini sehinggalah kita menemui Ramadhan nanti.

Kemuliaan Sya’ban pada Nisfunya dan kemulian Ramadhan pada Lailatul Qadarnya, Rejab bulan menabur benih, Rejab menyucikan badannya. Sya’ban bulan menyiram tanaman, Sya’ban menyucikan hatinya. Ramadhan bulan menuai, Ramadhan menyucikan ruhnya. Rejab bulan maghfirah, Rejab bulan taubah.Sya’ban bulan syafa’ah, Sya’ban bulan mahabbah. Ramadhan bulan mardhatillah, Ramadhan bulan rahmah.

READ MORE

Thursday, October 8, 2009

PEMUDA BERIBU BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.

Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.

Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

"Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

READ MORE