Monday, July 4, 2011

" KEBENARAN DALAM ISRA’ MIKRAJ "

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “ Kebenaran dalam Isra’ Mikraj ” .


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita kini berada di bulan Rejab. Bulan yang telah berlaku suatu peristiwa penting iaitu Isra’ dan Mikraj pada tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dalam menjalankan diri Rasulullah SAW dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis di Palestin dan seterusnya Nabi SAW diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT dan menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”

Peristiwa ini menguji tentang keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasaan Allah SWT serta bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, kerana bagi pandangan orang-orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya. Tetapi bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap percaya dengan penuh keimanan dan keyakinan serta memperakukan kebenaran peristiwa tersebut seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dalam mempercayai Allah dan Rasul-Nya sehingga beliau digelar “as-Siddiq” yang membawa maksud orang yang benar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sepanjang perjalanan Isra’ dan Mikraj yang ditemani oleh Jibril, Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia sama ada yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang mengembirakan dan ada yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah SAW diperlihat satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka. Kata Jibril itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami. Persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya golongan ini?. Mengikut pandangan ulama golongan ini ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan cara yang halal dan mereka ini tergolong dikalangan yang dicela serta tidak berjaya samada dalam kehidupan dan cita-citanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 1-6:
Maksudnya:“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia .Mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu . Mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Budaya hidup berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina. Hukuman keras ini amat waras kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri, maruah dan moral manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Rasulullah SAW berpesan bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah ramai orang yang jahil terhadap agama serta arak dan zina bermaharajalela. Mereka tahu tentang hukum haramnya namun masih tetap melakukan, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan dilakukan secara terang-terangan. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh al-Tabarani yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai, Aku bertanya, Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab Baginda: Ya, nescaya akan terjadi. Di Padang Mashyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki ke atas langgit, mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup di dunia mereka ini berbuat zina, suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia bukannya takut kepada Allah SWT. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini.

Dalam satu hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegur orang yang berzina, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah: mereka yang melakukan homoseks, mereka yang melakukan kahwin tangan (onani), mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang, mereka yang melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat). mereka yang berkahwin antara ibu dan anak. mereka yang berzina dengan isteri jirannya dan mereka yang mengganggu jirannya.”(Riwayat al-Tabrani).

Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun perlepasan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu melalui pasangan yang sah yang diikat dengan perkahwinan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak sah pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan.

Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
Bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

Serangan gejala sosial dan keruntuhan moral dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadang-kala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar amat yakin sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa ini bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Bersempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah kemaksiatan, sedar dan insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita yang mendatang akan diberkati oleh Allah SWT. Mimbar juga menyeru marilah sama-sama kita mendidik dan membangunkan anak-anak serta keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan kebenaran Isra’ dan Mikraj.

Mimbar mengambil kesempatan pada khutbah minggu ini untuk menyeru seluruh umat Islam sekalian agar bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati pada masa ini. Mimbar juga mengajak umat Islam sekalian agar mengelak diri dari terlibat dengan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara seperti perhimpunan haram dan sebagainya.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 60:
Maksudnya: “Dan tiadalah kami menjadikan ( pada malam Mikraj ) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia ; dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat didalam al-Quran; dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak manambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau. ”

0 comments: