Wednesday, July 23, 2008

KEAGUNGAN ALLAH SWT DALAM PENSYARIATAN PUASA

Oleh ROSLI MOKHTAR

ALLAH s.w.t adalah Tuhan yang menjadikan manusia dan dialah Tuhan yang maha mengetahui tentang makhluk yang telah dicipta dengan kudrat dan iradatnya.

Syariat Islam yang bersifat sempurna itu dijadikan penyelamat manusia agar kehidupan di dunia ini dipenuhi kebahagiaan dan akhirat pula mereka mendapat ganjaran.

Mengapa agama Islam dan ajarannya mampu menjadi penyelamat dan pembawa kebaikan kepada manusia? Jawapannya, kerana Islam adalah sebuah agama sederhana. Tidak melampau dan ekstrem dalam menangani sesuatu keadaan.

Islam amat mementingkan keseimbangan, sesuatu objektif yang ingin dicapai dalam masa yang sama tidak mengabaikan keperluan yang lain. Dakwaan ini dapat dibuktikan melalui pengamatan terhadap seluruh ajaran Islam yang suci. Bahkan dengan mengamati tuntutan puasa sahaja sudah menunjukkan keindahan dan keagungan Islam dalam menjaga keseimbangan serta keperluan manusia.

Boleh dikatakan bahawa puasa yang dituntut oleh Islam adalah puasa yang sederhana. Ia pertama sekali, mengambil kira antara tuntutan tuhan dan keperluan manusia.

Objektif puasa antaranya ialah menimbulkan rasa ketundukan kepada Allah, mengingati nikmat-Nya, menghargai pemberian Tuhan dan mengingati nasib orang lain yang malang. Puasa yang disyariatkan oleh Islam tidak terlalu ringan sehingga tidak mencapai objektif tersebut.
Dalam masa yang sama ia juga tidak terlalu sukar sehingga tidak dapat dilakukan oleh manusia atau hanya segelintir sahaja yang mampu menjalankannya.

Ramai kanak-kanak walaupun masih di sekolah rendah tapi berpuasa dengan penuh semangat. Mereka penat dan lapar ketika berpuasa. Kepenatan dan kelaparan yang sederhana mampu menyampaikan manusia kepada objektif puasa. Tetapi dalam masa yang sama, ibadat puasa juga tidak terlalu lama.

Masa yang dilalui dari terbit fajar hingga terbenam matahari adalah cukup membuat manusia merasai kesan meninggalkan keperluan kemanusiaannya. Apa akan terjadi jika puasa berlalu sehari semalam? Sudah tentu ia terlalu panjang dan mengerikan.

Begitu juga jika dilihat dalam hitungan hari, jumlah tuntutan sebulan dalam setahun adalah sederhana, dan apa akan terjadi jika manusia disuruh berpuasa selama enam bulan misalnya?
Ada agama yang tuntutan puasa mereka terlalu sukar sehingga tidak boleh makan dan minum berhari-hari lamanya. Begitu juga ada agama yang puasanya terlalu mudah kerana hanya berpuasa waktu malam sahaja atau puasa bagi mereka meninggalkan beberapa jenis makanan sahaja.

Sudah tentu dengan tidak mengekang nafsu, tidak ada sebarang kesan pendidikan yang dapat ditimbulkan daripada puasa tersebut. Atau jika adapun kesannya amat terbatas.
Orang yang berpuasa dengan tidak makan makanan yang berdarah mungkin hanya bertujuan untuk menghormati binatang. Faedah dan kesan puasa sedemikian sudah tentu amat terbatas.
Semua agama mengakui bahawa puasa boleh meningkatkan hubungan dengan tuhan. Kita juga jarang mendengar orang mati kerana berpuasa.

Jika keadaan tersebut boleh berlaku kepada individu tertentu seperti pesakit kencing manis misalnya, maka Islam sendiri yang bertindak melarang individu yang mendapat mudarat dari menjalankan ibadat puasa.

Banyak kajian menunjukkan puasa bukan memudaratkan bahkan ia pula mampu menjaga kesihatan manusia. Tuntutan berpuasa hanya di siang hari, merupakan bukti keseimbangan tuntutan puasa antara mendidik manusia dan menjaga kepentingan mereka.

Bila membincangkan tentang keseimbangan tuntutan puasa, apa yang menakjubkan ialah puasa bukan sahaja menitik beratkan keseimbangan dalam tuntutan individu tetapi puasa juga memberi penekanan terhadap keseimbangan antara individu dan masyarakat.

Allah boleh mensyariatkan puasa dengan tidak mengikatnya dengan bulan tertentu. Contohnya Tuhan boleh berkata: “Wahai manusia, puasalah 30 hari dalam setahun, pilihlah mana-mana hari yang kamu suka. Namun ia tidak berlaku demikian, ini kerana puasa bukan sahaja mementingkan pendidikan individu tetapi puasa juga mempunyai objektif yang berbentuk kemasyarakatan” .

Seluruh umat Islam berpuasa dalam masa yang sama, di bulan yang sama, berhari raya dimasa yang sama. Pergilah ke seluruh pelosok dunia pada bulan Ramadan. Selagi mana anda bertemu dengan orang Islam, anda akan mendapati mereka sedang melakukan ibadat yang sama.

Mereka berpuasa dan berbuka dalam masa yang sama. Selain itu, melakukan solat terawih secara berjemaah menghidupkan rasa berjemaah. Orang Islam diajar bahawa mereka adalah salah satu dari komponen masyarakat. Dia tidak boleh memencilkan diri. Dia berdoa semasa berbuka, membaca al-Quran setakat kemampuan individu tetapi ia dalam bentuk jemaah dari sudut keseluruhan umat melakukan tuntutan yang sama.

Bukan itu sahaja, rasa terpaut dengan umat akan lebih terserlah bila dia juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah yang menimbulkan tanggungjawab terhadap masyarakat. Bagi penerima zakat, dia diajar bahawa dirinya tidak diabaikan. Jika anda memerlukan maka inilah bantuan yang mampu diberikan.

* ROSLI MOKHTAR ialah Pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

0 comments: