Dan Dialah yang menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirahat, dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki)” Al-Furqan:47
Ayat di atas menjelaskan, badan manusia mempunyai sistemnya yang tersendiri. Sistem ini menyebabkan kita mengantuk dan kurang bertenaga pada waktu malam dan cergas pada waktu siang. Ia dikawal oleh hormon-hormon. Sistem ini dikenali sebagai pusingan biologi atau biological rhythm. Kadangkala ia dinamakan sebagai circadian rhythm
FISIOLOGI PUSINGAN BIOLOGI
Pada waktu malam, badan manusia, melalui kelenjar pineal, mengeluarkan sejenis hormone yang bernama melatonin. Hormon ini mempengaruhi bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus. Ia menyebabkan kita tidur. Apabila kita tidur pada jam 10.00 malam dan terjaga pada jam 6.00 pagi, kadar melatonin berada pada tahap optimum dalam darah pada jam 1.30 hingga 2.00 pagi. Selepas itu, kadarnya menurun dan ia berada pada tahap paling rendah apabila bangun daripada tidur pada jam 6.00 pagi.
Pada waktu siang, semasa kita aktif melakukan pelbagai aktiviti, hormone kortisol mempengaruhi kita. Hormon ini berfungsi melajukan jantung dan pernafasan pada waktu siang. Hormon kortisol juga dikenali sebagai hormone stress kerana ia berada pada tahap yang tinggi apabila individu mengalami tekanan. Hormon ini mula keluar pada waktu malam lebih kurang jam 1.00 hingga 2.00 pagi, semasa kita sedang nyenyak tidur, sebagai persiapan bagi menghadapi waktu siang. Pengeluarannya memuncak apabila bangun daripada tidur.
Daripada sudut pusingan biologi, waktu yang dianggap paling produktif adalah antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Gunakan waktu ini bagi melakukan kerja-kerja utama dalam hidup kita. Selepas itu, pada waktu tengah hari dan awal petang, badan kita akan menjadi lesu dan lemah. Para saintis menamakan fasa ini sebagai a midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate. Jika mempunyai kesempatan, tidurlah sekejap pada waktu ini.
Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur pada waktu tengah hari adalah Dr. William A. Anthony (Ph.D) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art of Napping at Work. David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini. Kajian menunjukkan, mereka yang secara rutin tidur selama 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30% lebih rendah berbanding mereka yang lain. Hal ini disebutkan oleh David S. Sobel, M.D., dalam artikel Healthy Pleasures dalam Mind I Body Health Newsletter (Online), terbitan 1989. Daripada sudut sunnah, tidur pada waktu tengah hari dikenali sebagai qailulah dan sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Selepas itu, kita akan memasuki fasa produktif yang kedua antara jam 8.30 hingga 10.30 malam. Kita boleh merancang menggunakan waktu ini untuk membaca dan merancang sebelum berehat untuk tidur.
Apa yang dipaparkan ini adalah penerangan ringkas bertujuan membantu kita mengenali mesin yang sedang bekerja di dalam diri kita. Kita boleh menggunakan maklumat ini bagi merancang aktiviti setiap hari. Walau bagaimanapun, ada pelbagai factor lain yang mempengaruhi kecergasan serta focus seperti status kesihatan, persekitaran, pemakanan dan yang seumpamanya. Kita perlu juga memahami factor-faktor ini supaya akhirnya kita dapat meledakkan potensi sehingga tahap optimum.
TIDUR SEBAGAI IBADAH
Tidur perlu dijaga kerana ia adalah ibadah. Ia perlu dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai ibadah. Berhubung dengan ini, Imam Bukhari dan Muslim menceritakan, “Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur.”
Semasa tidur, sel-sel di dalam badan melalui proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal di Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio, menjelaskan, semasa tidur badan mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi memperbaiki sel-sel yang rosak. Mengambil arak ataupun minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada waktu siang. Hal ini disebutkan oleh Roxanne Khamsi dalam artikel Experts Attest to Benefits of Sleep, dalam The Cavailer Daily, Inc, University of Virginia bertarikh 4 Mac, 1999.
Penyimpanan maklumat jangka masa panjang atau long-term memory di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Mereka yang suka tidur lewat mengganggu proses penyimpanan maklumat ini. Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam menjejaskan pusingan biologi individu dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca. Di samping itu, ia menyebabkan letih pada waktu yang tidak menentu pada waktu siang.
Tidur memantapkan system darah dan jantung. Dr. Tom Mackay, seorang pakar berhubung penyakit-penyakit system pernafasan di Pusat Tidur Kebangsaan, Edinburgh Royal Infirmary, Scotland merumuskan, kurang tidur menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku di dalam badan. Keadaan ini meningkatkan risiko individu menghidap penyakit kencing manis, jantung dan strok.
Tidur juga memantapkan system pertahanan badan. Kajian menunjukkan, individu yang tidur 3 hingga 4 jam kurang daripada kadar biasa mengalami tekanan atau stress. Ini melemahkan system pertahanan badan dan menjadikannya mudah dijangkiti kuman. Penemuan ini dilaporkan di dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober, 1999.
Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur secara optimum pada waktu malam? Keperluan tidur individu berbeza dengan individu lain. Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Barah Amerika, mereka yang tidur kurang dari lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam.
NABI DAN PUSINGAN BIOLOGI
Secara tidak langsung, nabi mengambil kira kehendak pusingan biologi apabila baginda menyuruh para sahabat melayani keperluan badan. Beliau sendiri melayani hak dan keperluan jasad bertujuan menyihatkan diri sebagai persiapan untuk beribadah. Pada suatu masa, terdapat para sahabat yang tidak mahu tidur dan tidak mahu berkahwin. Ada pula sahabat yang berazam untuk berpuasa secara berterusan.
Berhubung dengan perkara ini, nabi berkata: “Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.” Hadis ini dijelaskan oleh Bukhari dan Muslim.
Pada masa lain, nabi pernah memasuki masjid dan ternampak seutas tali merentangi dua tiang. Beliau diberitahu tali itu kepunyaan Zainab yang berpaut padanya apabila letih selepas melakukan sembahyang. Nabi terus berkata, “Bukalah tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur.” Hadis ini dinyatakan oleh Bukhari dan Muslim.
Tambahan daripada itu, nabi melayani fasa yang diistilahkan oleh saintis hari ini sebagai a midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate, dengan melakukan qailulah. Dalam fasa ini, yang berlaku pada waktu tengah hari dan awal petang, badan individu akan menjadi lemah. Di dalam kitab Misykatul Masabih oleh Fazlul Karim disebutkan, “Tidurlah sekejap di waktu tengah hari atau qailulah bukanlah suatu perbuatan yang keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.”
Petikan daripada buku Tip-tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin (Cemerlang dengan Memanfaatkan Pusingan Biologi)
READ MORE
SUMMARY ONLY