Tuesday, November 28, 2006

SEBELUM TIDUR LENA....

Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, iaitu :

1. Sebelum khatam Al Qur'an.
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir.
3. Sebelum para muslim meredhai kamu.
4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah....

"Bertanya Aisyah : "Ya Rasulullah.... Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?

"Rasul tersenyum dan bersabda : "Jika engkau tidur bacalah :

- Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an.
- Membaca selawat untukKu dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.
- Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredoi kamu.
- Dan,perbanyaklah bertasbih,bertahmid,bertahlil,bertakbir maka seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah"

READ MORE

Saturday, November 25, 2006

IKHTIBAR DARI SEMALU

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.

Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi.

Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama:

Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua:

Semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga:

Semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali:

Semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

READ MORE

Thursday, November 23, 2006

KATA IMAM AL-GHAZALI


READ MORE

Monday, November 20, 2006

WAHAI MANUSIA SIAPAKAH KAMU?

Oleh Asy-Syahid al-Imam Hasan al-Banna

Firman Allah SWT:


"Hai manusia! apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadiaan kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu.”

( Surah al-Infithar: ayat 6-8.)

Terhadap pertanyaan, “Wahai manusia! Siapakah kamu?”


1. Adapun orang-orang yang beriman mengatakan:


Kamu ialah satu penciptaan Allah SWT dan satu tiupan suci dari sisi Allah SWT. Allah SWT menjadikan kamu dengan kekuasaan-Nya. Ditiup-Nya ke dalam diri kamu dengan ruh dari sisi-Nya. Dimuliakan kamu daripada seluruh makhluk-Nya yang lain. Seluruh malaikat telah sujud kepadamu. Allah SWT telah mengajar kepadamu segala sesuatu.

Diletakkan di bahu kamu amanah, lantas kamu memikulnya. Dilimpahkan ke atas kamu nikmat-nikmat dari sisi-Nya baik yang zahir mahu pun batin. Dijadikan untuk kamu seluruh isi langit dan bumi. Dimuliakan kamu dengan setinggi-tinggi kemuliaan.

Diciptakan kamu dengan sebaik-baik penciptaan. Dipersiapkan kamu dengan sesempurna persiapan. Diberikan kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati. Dijelaskan kepadamu dengan dua jalan (yang buruk dan yang baik) dan ditunjukkan kepada kamu dua persimpangan.

Dipermudahkan kepada kamu dalam membuat pilihan terhadap jalan-jalan itu. Dengan izin-Nya dan penciptaan-Nya, kamu dapat terapung di air dan terbang di udara bahkan dapat memecahkan atom-atom. Dengan fikiran dan kemampuan kamu, kamu dapat melampaui lapisan-lapisanawan dan langit (serta bumi).


Lantaran itu adakah lagi pencitaan dan kejadian yang lebih mulia, lebih suci dan lebih agung daripada penciptaan Rabbani ini?


Seterusnya hidup kamu yang singkat di dunia tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Kamu akan dihidup dan dibangkitkan kembali. Kamu akan dihimpunkan semula. Kamu akan menempuh hidup baru dengan penuh kemuliaan di dalam satu negeri yang penuh dengan kenikmatan dan kebaikan, dengan syarat kamu mengerti rahsia kamu dijadikan dan seterusnya kamu beramal dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, al-Ma’bud, al-Khaliq.


Firman Allah SWT:


“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk pengabdian kepada-Ku. Aku tidak mengkehendaki rezki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan.”

(Surah az-Zariyat: ayat 56-57)


Kematian yang kamu bimbang dan takuti itu tidak lain melainkan hanyalah satu perpindahan dari hidup di dunia kepada kehidupan yang satu lagi.


Firman Allah SWT:


“Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan mainan belaka. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”

(Surah al-Ankabut: ayat 64)


Jasad kamu tidak lain adalah seolah-olah satu sangkar dan jiwa kamu terkurung di dalamnya. Seolah-olah ia adalah satu pakaian terhadap jiwa kamu sehingga sampai kepada satu ketika di mana kamu menemui kematian.

Semoga Allah S.W.T. merahmati orang-orang ‘Arif yang berkata:

Akulah burung dan inilah sangkarku (jasadku),
Bila ku terbang darinya, tinggallah ia terkatung-katung,
Pakaian adalah masa,
Kini ku merindui pulang,
Dapat ku bertemu Allah dengan sebenarnya,
Jangan kau kira maut itu adalah kesudahan,
Bahkan hanyalah dari sini (dunia) ke sana(akhirat).


2. Sebaliknya, orang-orang Meterialis dan suka membantah akan mengatakan:


Kamu wahai manusia, hanyalah satu genggaman tanah, berasal daripada setitis mani yang terperangkap di dalam rahim. Dengan masa, lama kelamaan kamu akan luput dan fana. Tiada apa-apa lagi selepasitu. Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh. Demikian juga kata-kata orang yang terdahulu daripada mereka.

Firman Allah SWT:


“Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tiada yang dapat membinasakan kita melainkan masa.”

(Surah al-Jaathiyah: ayat 24)


Orang-orang yang terkemudian daripada mereka berkata, “Diri kamu hanyalah adunan unsur-unsur bumi dan kehidupan kamu adalah peredaran sistem-sistem fisiologi semata-mata. Segala sentimen, perasaan dan kewujudan, fikiran dan kudrat, keazaman dan kemahuan hanyalah kesan daripada adunan unsur-unsur bumi dan natijah daripada percampuran tanah dan air.

Kehidupan hanyalah pusingan hari-hari tertentu yang dapat kamu mengambil kesempatan untuk kamu berseronok-seronok dan berfoya-foya. Sesungguhnya dunia ini untuk makan, minum dan tidur. Bila ini semua luput, maka selamat tinggallah dunia.


Wahai saudara-saudari perhatikanlah:


Itulah permasalahan hidup sebenarnya, jika kamu perhatikan betul-betul. Jika kamu renungkan betul-betul, kamu tidak akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang lalai dan leka dengan kewujudan mereka, yang tidak mengambil berat terhadap kewajipan insaniyyah mereka. Kamu akan menjadi orang-orang yang sedar terhadap matlamat hidup dan jalan yang harus kamu tempuhi.


Seperkara yang inginku nasihatkan kepadamu:


Ambil peluang untuk bersendirian seketika di waktu malam atau siang. Pergunakanlah ia untuk merenung dengan sedalam-dalamnya terhadap kehidupan individu dan jamaah. Apabila kamu telah mencapai hakikat pandangan yang pertama tadi, iaitu pandangan orang-orang yang beriman, kamu akan dapat menyedari di manakah kamu yang sebenarnya.

Sesungguhnya kamu akan dapat meningkatkan dirimu kepada matlamat sebenar. Seterusnya kamu akan menuju Allah SWT Yang Maha Agung. Kamu akan mensucikan dirimu dengan mengingati-Nya, mentaati-Nya, muraqabah kepada-Nya dan sentiasa takutkan-Nya.

Sesiapa yang mengenali dirinya nescaya ia akan mengenali Rabnya.

Jangan kamu merasa anih jika terdapat orang yang memilih pandangan kedua, pandangan orang-orang yang sesat. Ada dua jalan, jalan fitnah atau jalan hidayah.

Firman Allah SWT:


“Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasik. Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka daripada mengerjakannya, Kami katakana kepada-Nya, “Jadilah kamu kera yang hina”.”

(Surah al-’Araf: ayat 165-166)


Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

READ MORE

Sunday, November 19, 2006

TAWADUK SIFAT MULIA

TAWADUK bererti, merendah diri, tidak berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri, sama ada dari segi ibadah, keturunan dan keluarga, pangkat dan kedudukan, ilmu dan pelajaran, harta benda dan kekayaan dan sebagainya. Orang yang mempunyai sifat tawaduk adalah orang yang sentiasa tunduk kepada setiap perintah Allah SWT. Ia tidak akan bersifat sombong, tidak takbur, riya' atau ujub. Ia akan sentiasa mengasihi sesamA makhluk maka ia pula akan dikasihi.

Orang yang mempunyai sifat tawaduk adalah orang yang memiliki budi pekerti yang luhur, berjiwa besar, lemah lembut dan bersopan santun dalam apa keadaan pun, di manapun kedudukannya akan sentiasa menghormati orang lain walaupun dirinya sendiri mempunyai kelebihan daripada orang lain atau orang lain itu lebih rendah kedudukannya daripada dirinya.

Orang yang bersifat tawaduk tidak akan bersifat takbur iaitu berperasaan tinggi diri, merasa diri lebih mulia, lebih besar, mempunyai kelebihan daripada orang lain dan menganggap orang lain adalah rendah dan hina.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Baihaqi,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang di dalam hatinya ada sifat takbur sebesar biji sawi, nescaya ditelengkupkan mukanya oleh Allah SWT dalam api neraka".

Daripada sifat takbur ini akan lahir pula sifat sombpng dan angkuh. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ibnu Mas'ud,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :

"Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong sebesar biji sawi. Dan tidak akan masuk neraka orang yang dalam hatinya beriman sebesar biji sawi".

Orang yang bersifat tawaduk tidak akan suka menunjuk-menunjuk atau meng'highlight' amal ibadat atau amal kebaikan dan kebajikan yang dikerjakannya. Hatinya sentiasa ikhlas melakukan sesuatu dan melakukan sesuatau itu bukan kerana riyak atau dengan niat untuk mendapatkan sebarang imbalan atau ganjaran seperti mendapatkan keuntungan wang ringgit, untuk mendapatkan pujian,mencari pangkat dan kedudukan, mencari nama, pengaruh dan seumpamanya.

Orang yang bersifat tawaduk akan merasa bahawa segala kelebihan, segala kenikmatan yang dimilikinya seperti kekayaan harta benda dan wang ringgit, ilmu pengertahuan, pangkat, kedudukan dan sebagainya itu adalah nikmat kurnia daripada Allah SWT hasil daripada ikhtiar dan usahanya sendiri namun ia tidak akan memuji dirinya sendiri atau merasai dirinya lebih daripada orang lain, ia tidak akan memandang dirinya sahaja yang hebat, dirinya sahaja yang benar.

Malah orang yang bersifat tawaduk akan sentiasa muhasabah diri, akan sentiasa mencari kekurangan dan kelemahan diri, sentiasa ingin belajar, menerima teguran orang, bertanya ataupun mengambil faedah daripada orang lain walaupun orang itu lebih rendah kedudukannya daripada dirinya sendiri.

Begitulah mulianya orang yang mempunyai sifat tawaduk. Bersederhana di dalam kehidupan termasuklah dari segi penampilan diri dan sifat peribadi. Mulia di sisi agama, mulia disisi sesama manusia. Namun ramai dari kita tidak mengetahui tentang kewajipan bersifat tawaduk ini. Malah, sama ada sedar atau tidak, kebanyakan daripada kita pada hari ini lebih bersifat menunjuk-nunjuk, membesar-besarkan diri, bersifat takbur, riya' dan ujub walaupun sifat-sifat yang sedemikian itu amat dibenci oleh Allah SWT

Menurut Rasulullah SAW, Allah SWT akan mengurniakan empat perkara kepada orang yang dikasihi-Nya sebagaimana sabda Baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Thabarani dan Al-Hakim daripada Anas, yang bermaksud :

"Empat perkara yang tidak diberikan oleh Allah kecuali kepada orang yang dikasihi-Nya iaitu (orang yang) diam (yang menunjukkan) bahawa itu adalah permulaan ibadat, bertawakal kepada Allah, merendahkan diri dan zuhud di dunia (meninggalkan kepentingan dunia)" .

Orang yang tawaduk akan mendapat rahmat daripada Allah SWT sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Asfahani daripada Anas, yang bermaksud :

"Merendah diri itu tidak menambahkan bagi hamba melainkan ketinggian. Maka hendaklah kamu merendah diri supaya dicurahi rahmat oleh Allah".

Learn from other mistakes
You can't live long to experience it for yourself
Belajarlah dari kesalahan orang lain
Engkau tidak dapat hidup lama untuk mendapatkan itu semua dari dirimu sendiri

Wassalam .........

READ MORE

WANITA-PELIHARALAH DIRIMU.....

Golongan Muslimah masa kini sudah semakin hebat dan boleh dikatakan setaraf pencapaiannya (dari segi pekerjaan dan pendidikan) dengan kaum lelaki. Bilangan wanita yang bergelar ketua dalam jabatan-jabatan sama ada kerajaan mahupun swasta turut meningkat. Kemampuan mereka mengetuai sesuatu tugasan tidak harus dipertikaikan lagi. Justeru martabat Muslimah semakin diiktiraf oleh banyak pihak.

Walau pun mengenakan pakaian yang dituntut oleh agama, kredibiliti mereka sebagai wanita berkerjaya terus dihormati. Meskipun demikian sebagai wanita berkerjaya, tidak dinafikan kadangkala kita berhadapan dengan dilema semasa membuat urusan berkiatan tugas. Pergaulan dan percampuran antara lelaki dan wanita seolah-olah menjadi satu kebiasaan pada masa sekarang. Adakah demi wang dan kedudukan tinggi dalam membina kerjaya, wanita sanggup mengetepikan tuntutan agama?

Seorang Muslimah harus merenungi peringatan Rasulullah yang menyuruh wanita menilai lagi diri, memperhatikan tingkah laku dan perbuatan. Harus benar-benar yakin bahawa apa yang dilakukan adalah sesuatu yang diredai oleh Allah s.w.t.

Kadangkala ketika sedang berurusan mengenai kerja, contohnya bertemu dengan pelanggan dan sebagainya, perbuatan berjabat tangan dengan lelaki bukan mahram kerap berlaku. Jangan jadikan urusan tugas sebagai alasan membolehkan kita bersentuhan kulit dengan lelaki yang tidak dihalalkan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

"Lebih baik ditusukkan sebatang jarum dari besi ke kepala seorang laki-laki daripada ia menyentuh wanita yang tidak dihalalkan baginya."
(Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi).


Dalam hadis ini terkandung ancaman yang sangat keras bagi laki-laki yang menyentuh seorang wanita yang tidak dihalalkan baginya. Memang di sana ada beberapa keadaan yang dibolehkan bagi seorang laki-laki untuk menyentuh wanita meskipun bukan mahramnya, seperti doktor yang harus mengubatinya kerana tidak ada seorang wanita yang dapat melaksanakan tugas doktor tersebut.

Berjabat tangan bagi mereka merupakan alat dan permulaan cubaan. Setiap orang yang berakal tentu akan menyedari kesan buruk yang diakibatkan oleh berjabat tangan antara laki-laki dan wanita serta pengaruhnya dikemudian hari.

Maka Islam hendaklah menutup jalan yang boleh menimbulkan akibat lebih parah lagi. Hukum ini hanya berlaku bagi orang yang bukan mahram. Sedangkan mahram seperti ayah, saudara atau lain-lain dibolehkan duduk bersama atau berjabat tangan bahkan kerana kecintaan Nabi s.a.w. terhadap Fatimah yang amat mendalam, beliau merangkulnya dan memeluk kepalanya setiap kali beliau tiba dari suatu perjalanan. Kisah serupa juga dilakukan oleh Abu Bakar terhadap puterinya, Aisyah.

Mungkin ada sesetengah Muslimah yang meremehkan perbuatan ini. Untuk itu, ingatlah selalu perkataan Rasulullah kepada Aisyah: "Wahai Aisyah, jauhilah perbuatan-perbuatan yang remeh, dalam suatu lafaz disebutkan:' Dosa-dosa, kerana ada yang dituntut terhadap hal itu daripada Allah."

Ingatlah perkataan seorang tabi'in, Bilal bin Sa'd:

"Janganlah kamu memandang kecilnya kesalahan, tetapi pandanglah siapa yang kamu derhakai."


Semoga Allah memberikan jalan kemudahan untuk mencapai apa -apa yang Dia kehendaki dan hendaklah engkau berpegang teguh kepada ketakwaan. Maka bertawakallah kepada Allah dalam kaitannya dengan amal dan perkataanmu. Berpeganglah kepada ketaatan kepada-Nya agar engkau mendapat redha-Nya pada suatu hari yang harta dan anak-anak tidak meberi manfaat kepadamu...

READ MORE

Sunday, November 5, 2006

BALASAN BAIK HINDARI MARAH

ABU Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: "Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah SAW duduk disebelahnya.

Nabi SAW diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah SAW bangun dan beredar dari situ.

Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."

Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

Rasulullah kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. "

Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring."Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: "Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat."

READ MORE