Sunday, August 31, 2008

RAMADHAN BULAN PENUH KEBERKATAN


PUASA ialah menahan diri daripada segala yang membatalkannya sepanjang hari, bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat.

Ia diwajibkan kepada umat Islam pada Ramadan.Ia difardukan atas umat Islam pada bulan Syaaban, tahun kedua Hijrah. Puasa Ramadan ialah satu daripada rukun Islam yang lima, sebagaimana ditegaskan al-Quran dan hadis, (maksudnya):

“Dari Ibn Umar, r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap dua kalimah syahadah (dengan menyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah".
Hadis Sahih Riwayat Muslim)


Puasa Ramadan wajib ditunaikan bagi orang Islam yang mencukupi syaratnya, dengan menahan diri daripada makan minum serta hubungan seksual, malah semua perkara yang boleh membatalkannya sebagai satu amal ibadat kepada Allah s.w.t.

Ibadat itu mampu merapatkan jurang perbezaan di kalangan manusia terutama antara si kaya dan miskin kerana sama-sama berlapar dan menahan dahaga.

Malah, ia menyumbang kepada kesihatan akal dan jasmani seseorang, melatih diri bersabar, menahan kehendak nafsu dan melahirkan sifat lemah-lembut, tolak ansur, belas kasihan dan prihatin terhadap sesama manusia.

Ditinjau dari sudut sejarah, puasa bukan saja dilakukan umat Islam, tetapi turut diamalkan generasi terdahulu.

Al-Quran ada menegaskan, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)

Nabi Adam dan Hawa manusia pertama berpuasa untuk membersihkan diri daripada keterlanjuran kerana memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah ketika mereka di syurga.

Bahkan, Nabi Adam diperintahkan tidak memakan buah khuldi, ditafsirkan ulama sebagai suatu bentuk puasa pada masa itu. “Dan Kami berfirman: Wahai Adam, diamilah kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang banyak lagi baik di mana saja kamu suka dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 35)

Nabi Idris, iaitu keturunan keenam Nabi Adam, memberikan beberapa nasihat, antaranya ialah kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan, orang yang bahagia adalah orang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Allah dengan amal solehnya dan apabila memohon sesuatu kepada Allah, berdoa dengan mengikhlaskan niat termasuk dengan solat dan puasa.

Putera Nabi Ayub, iaitu Nabi Zulkifli sanggup menerima amanah raja untuk berpuasa pada waktu siang dan beribadat pada malamnya serta sanggup bersabar.

Nabi Musa bersama kaumnya berpuasa selama 40 hari. Dalam surah Maryam, dinyatakan Nabi Zakaria dan Maryam sering mengamalkan puasa.

Nabi Daud pula berpuasa secara selang-seli, iaitu berpuasa secara selang sehari dan puasa baginda diibaratkan Allah sebagai puasa yang amat mulia.

Perkara ini dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w melalui sabdanya yang bermaksud: “Puasa yang amat dikasihi Allah adalah puasa Nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Isa dan golongan penyokongnya yang dikenali sebagai al-Hawariyun.

Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, berpuasa daripada memakan roti dan meminum air. Selepas diselamatkan Allah daripada buruan Firaun dan tenteranya, Nabi Musa juga berpuasa bersama kaum Bani Israel.

Nabi Isa diriwayatkan pernah berpuasa selama 40 hari, manakala di kalangan penyokongnya iaitu al-Hawariyun, mereka berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu.

Begitupun, cara puasa generasi terdahulu tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci baik melalui wahyu Allah atau pernyataan daripada Nabi mahupun ulama melalui penulisan mereka.

Saidatina Aisyah r.a menceritakan, seperti yang diriwayatkan Hisyam bin 'Urwah, bahawa orang Quraisy Arab selalu menjalankan puasa pada bulan Asyura walaupun untuk sehari.

Namun sejak Allah melantik Muhammad sebagai rasul-Nya, puasa dilaksanakan pada Ramadan, manakala puasa pada bulan 'Asyura masih disyariatkan tetapi berada dalam status sunat.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri sebelum diangkat menjadi rasul mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan dan turut mengamalkan puasa Asyura (10 Muharram).

Berpuasa pada 10 Muharam sebenarnya turut menjadi amalan orang Yahudi dan Nasrani di Madinah. Amalan berpuasa pada hari itu terus menjadi amalan Rasulullah selepas hijrah Baginda ke Madinah hingga turun ayat kewajipan puasa Ramadan pada tahun kedua hijrah.

Orang Yahudi di Madinah mewarisi amalan puasa daripada Nabi Musa yang diriwayatkan berpuasa bersama-sama kaumnya selepas mereka diselamatkan Allah daripada buruan Firaun dan bala tenteranya.

Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni dalam kitabnya Tafsir Ayat-Ayat Hukum menjelaskan puasa yang difardukan kepada orang Yahudi dan Nasrani juga sebulan, tetapi mereka sengaja menukar waktu dan bilangan harinya yang sepatutnya dilakukan selama sebulan itu hingga menjangkau 50 hari.

Ini kerana ahli kitab kadangkala meminda jumlah hari puasa ketika musim panas atau sejuk dengan alasan terlalu sejuk dan panas, lalu mereka menukar puasa itu pada musim bunga.

Sesetengah ulama mengatakan, puasa pertama kali disyariatkan pada zaman Nabi Nuh a.s dan tetap dilaksanakan sehingga zaman Muhammad. Malah, Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan, sejak Nabi Nuh hingga Nabi Isa, puasa diwajibkan selama tiga hari pada setiap bulan.

Tetapi penulis kitab Tafsir Ruh-l-Ma'ani, Syihabuddin al-Alusi , berhujah dengan berdasar hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abdullah bin 'Umar lebih percaya puasa Ramadan disyariatkan sejak Adam a.s. Al-Zamakhsari melalui kajiannya juga menegaskan puasa amal ibadah yang sudah lama.

Melihat kepada hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar dan beberapa faktor lain seperti proses penurunan syariat yang tidak diawali sebab tertentu serta beberapa hal lain, jelas menunjukkan puasa pada Ramadan memang disyariatkan kepada manusia sejak sekian lama tetapi diselewengkan umat terdahulu.

Ini boleh diterima kerana kerasulan Nabi Muhammad s.a.w untuk membimbing manusia kepada jalan Allah, meluruskan dan memperkuat kembali syariat yang diturunkan-Nya selepas golongan sesat dan perosak menyelewengkan ajaran terbabit sehingga menimbulkan kekeliruan.

Apabila mengetahui puasa juga ibadat generasi terdahulu, sewajarnya umat Islam tidak berasa ibadat itu sesuatu yang membebankan kerana jika orang dahulu boleh berpuasa, mengapa tidak kita hari ini?

READ MORE

RUKHYAH MENENTUKAN RAMADHAN,SYAWAL

DALAM sistem taqwim Islam, melihat anak bulan atau melakukan rukyah adalah satu ciri utama bagi menentukan awal bulan.

Rukyah menurut definisi hukum fiqah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas matahari terbenam, manakala anak bulan didefinisikan sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam.

Secara tradisinya, petunjuk bagi penyusunan taqwim Islam keseluruhannya berdasarkan kepada dalil syarie berkaitan dengan permulaan dan akhir puasa Ramadan.

Puasa bermula selepas anak bulan kelihatan pada 29 Syaaban. Begitu juga dengan hari raya, disambut selepas anak bulan kelihatan pada 29 Ramadan.


Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) sesudah melihat anak bulan.”

Hadis di atas tidak bermaksud memerlukan semua orang melihat anak bulan terlebih dulu sebelum memulakan puasa, malah hanya memadai ada segolongan yang melakukannya atau menyaksikannya.

Bagi mazhab Hanafi, memadai yang melihat itu seorang saja dalam keadaan cuaca mendung bagi penentuan Ramadan, tetapi bagi penentuan Syawal yang melihat anak bulan itu mesti dengan dua saksi. Sementara bagi mazhab Syafie wajib berpuasa walaupun hanya seorang melihatnya.

Awal bulan hijriah, khususnya Ramadan dan Syawal boleh juga ditetapkan berdasarkan laporan atau berita mengenai kelihatan anak bulan oleh seseorang yang boleh dipercayai.

Dalil ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan at-Tirmidzi daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, katanya (maksud):

“Seorang Arab (Badwi) datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata; wahai Rasulullah, bahawasanya saya telah melihat hilal Ramadan. Lalu bertanya Rasulullah s.a.w; apakah kamu mengakui tiada Tuhan melainkan Allah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Bertanya lagi Rasulullah s.a.w; apakah engkau mengakui Muhammad itu Rasulullah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal, beritahulah kepada manusia supaya mereka berpuasa esok hari.”

Bagi maksud ini, orang ramai yang nampak anak bulan sama ada Ramadan atau Syawal, boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, seperti mufti, hakim atau kadi.

Pihak berkuasa pula boleh mengadakan prosedur soal selidik sebelum menerima kesaksian berkenaan dan membuat keputusan mengenainya.

Ulama fiqah sepakat, wajib bagi orang yang mendakwa nampak anak bulan itu berpuasa, tetapi untuk anak bulan Syawal terdapat perselisihan pendapat.

Begitupun, perkara di atas tidak menjadi masalah dewasa ini, kerana di setiap negeri ada balai cerap untuk melihat anak bulan di tempat masing-masing dan Jawatankuasa Falak Syarie di setiap negeri akan hadir pada majlis terbabit bagi menentukan permulaan Ramadan dan Syawal.

Apabila anak bulan tidak kelihatan pada akhir sesuatu bulan itu, sama ada pada 29 Syaaban, 29 Ramadan atau Zulqaedah, bulan terbabit dijadikan 30 hari.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksud): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah (hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari).

Penetapan awal puasa dan hari raya boleh juga dilakukan berpandukan hasil kiraan falak.

Ini berdasarkan ayat 5 surah Yunus, maksudnya: “Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan menetapkan manzilah baginya, supaya kamu mengenai bilangan tahun dan pengiraan masa.”

Tetapi, penggunaan kaedah hisab sebagai penentu dalam permulaan Ramadan dan Syawal sering menimbulkan kontroversi. Malah, jumhur ulama fiqah menekankan rukyah hendaklah menjadi penentu berdasarkan kaedah istinbat hukum yang muktabar.

Bagi mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, rukyah diterima sebagai asas penetapan awal Ramadan dan Syawal.

Khilaf (perbezaan) antara rukyah dan hisab disebabkan tafsiran terhadap dua hadis, iaitu hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar serta satu lagi hadis diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah.

Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 memberikan impak positif dalam penggunaan kaedah saintifik sebagai asas penentuan awal bulan termasuk di Malaysia.

READ MORE

Thursday, August 21, 2008

CINTA DAN NALURI SEKS DALAM TINJAUAN ISLAM

Realiti yang ada pada generasi muda muslim pada masa sekarang ini, secara majoriti sedang terbuai dengan ribuan jaring kemungkaran modernisasi, seperti perzinaan dengan berbagai modelnya,namun justeru ia sering dijadikan standart kemajuan dan globalisasi.

Seks yang merupakan fitrah dan kurnian Allah Ta'ala berubah fungsi menjadi anjakan komoditi mencari keuntungan sebesar mungkin. Norma-norma yang berlaku di dalam tata kehidupan tidak lagi menjadi pegangan.Pupusnya rasa malu kaum Hawa terlihat pula dari turut andilnya mereka menanam saham kebatilan di bidang sandang. Model-model pakaian yang dililitkan ke tubuhnya sudah begitu jauh dari tuntunan syari'at.

Padahal Allah Ta'ala berfirman: "Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu yang perempuan dan orang-orang perempuan yang beriman, supaya mereka menutup tubuhnya dengan jilbab, yang demikian itu supaya mereka lebih dikenal, karena itu supaya mereka tidak diganggu, dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Al-Ahzab: 59).


Bila ayat ini masih dianggap belenggu yang merantai kebebasan kaum Hawa, maka dapatlah dipastikan, hujan berahi pun tak kan terelak, hingga dengan mudahnya kita saksikan jutaan perempuan bergentayangan di jalan-jalan, dan mempersilakan auratnya disapu mata sembarangan orang.

Padahal Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam riwayat Imam Muslim bersabda, artinya: "Mereka tidak akan masuk Surga dan tidak akan mencium wangi Surga, padahal wangi Surga itu tercium sejauh perjalanan sekian dan sekian."

Sebab meskipun berpakaian, pada hakikatnya mereka telanjang. Ironinya, setiap hari kita selalu dihadapkan kepada permasalahan di atas, iaitu urusan kelamin(seksualiti) .

Kemana-mana kita terganggu oleh rayuan perempuan, wajahnya, lenggak-lenggoknya, suaranya, semuanya penuh megnet dan daya tarik. "Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik."
(Ali Imran: 14).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, artinya: "Tidaklah ada suatu cubaan yang terjadi sepeninggalku yang lebih berbahaya bagi kaum laki-laki, yang melebihi bahayanya cubaan yang berhubungan dengan soal wanita".
(HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqqin menyatakan, ada tiga faktor yang menyebabkan tumbuhnya perasaan cinta, iaitu:

1.Sifat-sifat yang dimiliki oleh seseorang yang membuat ia dicintai oleh kekasihnya.

2.Perhatian sang kekasih terhadap sifat-sifat tersebut.

3.Pertautan antara seseorang yang sedang jatuh cinta dengan orang yang dicintainya.

Dengan kelengkapan ketiga faktor cinta yang dikemukakan oleh Ibnul Qayyim tersebut, maka terbuktilah tali percintaan, dan akan menjadi lemah jika terdapat kekurangan dari ketiga faktor itu. Hal ini diakui oleh Islam dan oleh semua pihak yang menentang Islam. Tapi Islam membedakan antara cinta dan seks sebagai nafsu. Cinta adalah mawaddah wa rahmah, sedang nafsu seks sebagai naluri adalah nafsu syahwat.

Keduanya hanya akan bersatu dalam perkahwinan, kerana berseminya cinta yang terjadi sesudah pernikahan adalah cinta yang dijamin oleh Allah Ta'ala, sebagaimana tercantum dalam surat Ar-Rum ayat 21, ertinya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Dari ayat di atas dapat kita simpulkan, bahwa Islam tidak mengenal percintaan sebelum perkahwinan yang sah, apalagi dengan pengambaran nafsu syahwat, sehingga menjadi naluri dan cenderung mengajak pada perbuatan-perbuatan yang mengundang murka Allah Ta'ala.

Sebagaimana telah termaktub dalam Surat Yusuf ayat 53, ertinya: "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ibnul Qayyim berkata: "Hubungan intim tanpa pernikahan adalah haram dan merosak cinta, malah cinta di antara keduanya akan berakhir dengan sikap saling membenci dan bermusuhan, kerana bila keduanya telah merasakan kelazatan dan cita rasa cinta, tidak akan tidak pasti timbul keinginan lain yang belum diperolehnya." "Bohong!", itulah komentar sinis mereka guna membela nafsu syahwatnya, untuk melegimitasi percintaan secara haram. Bahkan lebih parah lagi, mereka berani bersumpah, cinta yang dilahirkan bersama sang kekasih adalah cinta suci, bukan cinta berahi dan syaithani.

Padahal yang dijaga dalam Islam bukanlah semata-mata perihal kepemudaan, kegadisan dan selaput dara saja, tetapi lebih dari itu, kesucian mata, telinga, hidung, tangan, kaki dan sekujur anggota tubuh. Bahkan kesucian hati juga wajib dijaga.

Zinanya mata adalah berpandangan dengan bukan mahramnya, zinanya hati adalah membayangkan dan mengkhayalkan, dan zinanya tangan adalah menyentuh tubuh wanita yang bukan mahramnya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Telah ditulis atas anak Adam bagiannya dari hal zina yang akan ditemui dalam hidupnya, tidak akan tidak. Zinanya mata adalah melihat, zinanya telinga adalah mendengar, zinanya kaki adalah berjalan, dan zinanya hati adalah keinginan dan berangan-angan, dan semua itu dibenarkan atau didustakan oleh pasangannya."
(HR. Muslim dari Abu Hurairah).

Namun jaring-jaring cinta di luar perkawinan telah menjerumus manusia kedalam tali asmara. Asmara yang bergejolak menuntut keintiman dan kesyahduan, sehingga cinta buta menjadi mahar yang menghalalkan hubungan kelamin kisah kasih dua insan yang berlainan jenis. Untuk itu dalam menghadapi semua ini, hendaklah kita senantiasa berpedoman pada aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Islam, di antaranya adalah:

A. Menjaga Pandangan Mata..

Memelihara mata cukuplah dengan menundukkan pandangan bila ada lelaki atau wanita yang bukan mahramnya, dan jangan memandangnya berulang-ulang. Hal ini diatur oleh Allah dan RasulNya agar kita dapat mengendalikan mata sebagai panca indera yang sangat peka terhadap seks.

Allah Ta'ala berfirman, artinya: "Katakan-lah kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan sebagian dari pandangan mata (terhadap wanita) dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan, dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
(An-Nur: 30-31).

Tapi ada pula memandang untuk suatu keperluan yang diperbolehkan, seperti dalam pengobatan, peminangan dan segala sesuatu yang telah disyari'atkan dalam Islam.

Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits, artinya: "Dari Mughirah bin Syu'bah, bahwa ia hendak menikah dengan seorang wanita, Nabi bertanya, 'Sudahkah kamu melihatnya?' , 'Belum', jawabnya, lalu Nabi bersabda, 'Lihatlah ia, sesungguhnya dengan melihatnya lebih menenteramkan hati kamu berdua'."
(HR. An-Nasa'i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi) .

B. Menjauhi Pergaulan Bebas..

Pergaulan bebas pasti menimbulkan hal-hal negatif yang tidak diinginkan. Hal ini biasa dilihat di barat, yang mengagungkan kebebasan dalam segala hal, termasuk dalam seks. Kini mereka menjerit, angka perceraian sangat tinggi, setiap minit terjadi masalah perkosaan dan pernikahan yang diragukan, maka terjadilah kes-kes moral dan tersebar berbagai penyakit kelamin.

Allah Ta'ala membuat batas-batas pergaulan laki-laki dan wanita yang bukan mahramnya dalam firmanNya: "Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
(Al-Isra': 32).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, janganlah ia bersunyi sepi iaitu berduaan dengan wanita yang tidak didampingi mahramnya, kerana yang menjadi pihak ketiganya adalah syaitan."
(HR. Ahmad).

Apalagi halnya sampai bersentuhan dengan lawan jenis yang bukan mahramnya.

A'isyah radiallahu anha berkata: "Tangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah sama sekali menyentuh tangan perempuan di dalam bai'at, bai'at Rasulullah dengan mereka adalah berupa ucapan."
(HR. Al-Bukhari).

READ MORE

MENYINGKAP HIJAB KITA DENGAN TUHAN

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menyingkap hijab, terutama bagi setiap orang yang berjalan menuju Allah (salik). Sebab ketika seseorang tidak mampu menyingkap hijab, bererti selama itu pula dia tidak boleh lepas dari jeratan syirik, baik syirik jali (nyata) mahupun syirik khafi (tersembunyi) .

Syarat utama untuk berjumpa dengan Allah tidak boleh syirik sama sekali, teristimewa dalam menjalankan ibadah. Perjuangan yang harus terus dilakukan ialah mencari cara agar mampu menyingkap hijab itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, yang selalu mengajak orang berpaling dari Allah adalah nafsu yang ada di dalam diri, terutama nafsu ammarah, lawwamah dan sawwiyah.

Syarat utama untuk berjumpa dengan Allah tidak boleh syirik sama sekali, teristimewa dalam menjalankan ibadah. Perjuangan yang harus terus dilakukan ialah mencari cara agar mampu menyingkap hijab itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, yang selalu mengajak orang berpaling dari Allah adalah nafsu yang ada di dalam diri, terutama nafsu ammarah, lawwamah dan sawwiyah.
Nafsu, meskipun di satu sudut berfungsi menggairahkan hidup, namun jika tidak dikendalikan dan tidak dikembalikan kepada Allah, dapat menyeret seseorang pada tipu daya kehidupan dunia. Nafsu dapat membuat batin terumbang-ambing, kerana desakan pelbagai peristiwa, keadaan, keinginan dan ambisi.

Dalam situasi demikian, pandangan seseorang akan mudah terhijab (terdinding) dan berpaling kepada selain Allah. Untuk itu diperlukan kemampuan mengendalikan nafsu agar tidak terhalang dalam memandang Allah.kerana ketika nafsu tidak mampu dikendalikan, maka nafsu tersebut akan mengusai diri sepenuhnya, bahkan dapat menjadi tuhan selain Allah.

Sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya:

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
(Al Jaatsiyah: 23).

Pada saat nafsu telah menguasai diri, itu petanda hijab telah menutupi pandangan hati, juga kemungkinan akan merebak ke pendengaran, penglihatan dan akal. Pada akhirnya, penglihatan tidak mampu menyaksikan keindahan sifat Allah, pendengaran tidak mampu merasakan dahsyatnya ayat-ayat Allah dan akalnya tidak mampu menerima percikan cahaya Ilahi.

Itu semua adalah tanda dari orang yang sedang disesatkan Allah. "Barangsiapa yang dikehendaki Allah (kesesatannya) , niscaya disesatkan-Nya. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah (untuk diberi-Nya petunjuk), niscaya Dia menjadikan-Nya berada di atas jalan yang lurus"
(Al An'aam: 39).

Salah satu cara untuk menyingkap hijab adalah dengan jalan mengendalikan nafsu dan mematikannya. Dalam hadis Nabi saw. menganjurkan: "Matikan nafsumu sebelum kamu mati." (tertera dalam Kitab darul Nafis).

Orang yang sudah mampu mengendalikan hawa nafsunya, akan memiliki pandangan yang jernih dalam menatap Wujudul Haq (wujud Allah). Diumpamakan bagai telaga yang airnya jernih, tampak jelas keindahan semua isinya.

Sebaliknya, telaga yang airnya kotor tidak terlihat apapun, kecuali hanya kekeruhan. Orang yang dapat menahan diri dari keinginan hawa nafsunya dan takut Tuhannya, akan memetik keindahan syurga.

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga sebagai tempatnya."
(An Naajiyat: 40).

Orang-orang seperti itulah yang akan dapat menikmati keindahan syurga, iaitu terbukanya tirai Ilahi. Barangsiapa rindu berjumpa dengan Allah, hendaklah menahan diri dari mengikuti hawa nafsu. Berbahagialah orang-orang yang telah membersihkan jiwanya dari konkongan hawa nafsu.

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri, dan mengingat nama Tuhannya lalu senantiasa berhubungan (memandang Allah)."
(Al 'Ala: 14-15).

READ MORE

KISAH SEORANG LELAKI V/S SYAITAN

Sepasang suami isteri pada mulanya hidup dalam keadaan tenteram.Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekatinya. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab.

Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.


"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.

Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu."

"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja."Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.

"Akan saya teruskan!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar.Pulanglah segara,jangan teruskan niat Tuan itu"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semnejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi.Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.

"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.

"Berhenti, jangan lanjutkan."

"Bagaimanapun juga tidak boleh,sebelum pohon itu tumbang."

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari sia-sia yang berlanjutan . Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."
Hadith Riwayat Muslim

READ MORE

Sunday, August 17, 2008

7 ALASAN MENGAPA SAINTIS PERCAYA WUJUDNYA TUHAN

Artikel dari Mr. Cressy Morisson, bekas Presiden 'New York Academy Of Sciences' yang pertama kali terbit di dalam Reader's Digest Januari, 1948 ;kemudian dengan sokongan Professor C. A. Couldson, F. R.S. Profesor Matematik di Universiti Oxford ianya telah diterbit semula di dalam Reader's Digest November 1960. Rencana ini membuktikan para saintis mengakui betapa perlunya kehadiran tuhan yang maha Pencipta.

Kita masih lagi berada dalam keheningan subuh zaman saintifik dan setiap peningkatan sinar mentari membawa petunjuk akan keagungan maha pencipta.Setelah 90 tahun sejak Darwin membuat penemuan dengan semangat sains kemanusian dan dengan kepercayaan kepada pengetahuan yang semakin hampir kita dekati menyebabkan kita semakin bertambah yakin dengan adanya Tuhan.

Untuk diri saya, saya telah menghitung 7 alasan untuk menyimpulkan kepercayaan saya ini.

Pertama:dengan menggunakan hukum matematik kebarangkalian, kita boleh membuktikan bahawa alam ini telah direkabentuk dan dicipta dengan kejuruteraan yang maha bijaksana. Jika anda ambil 10 keping wang syiling dan tandakan dari 1 hingga 10, kemudian masukkan ke dalam poket anda dan gaulkan syiling2 tersebut. Sekarang anda cuba anda mengambilnya secara teratur dari no. 1 hingga 10 dan masukkan kembali syiling2 tersebut dan gaulkan mereka kembali, Secara matematik, kita tahu bahawa kebarangkalian anda untuk mendapatkan syiling bernombor 1 adalah 1 dalam 10, peluang untuk mendapatkan no. 1 dan no. 2 secara berturutan adalah 1 dalam 100 dan peluang untuk mendapatkan 1, 2 dan 3 secara berturutan secara berterusan adalah 1 dalam 1000 dan begitulah seterusnya. Peluang anda untuk mendapatkan no. 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10 secara berterusan adalah 1dalam 10 juta kali.

Mengikut kaedah yang sama, terlalu banyak keadaan yang ideal dan optima yang diperlukan di dalam kehidupan di atas bumi ini dan ianya pasti tidak akan wujud jika ianya terjadi dengan sendirinya, Bumi berpusing pada paksinya pada kelajuan 1,000 batu sejam. Jika ianya berpusing pada kelajuan 100 batu sejam, hari2 dan malam2 bumi akan menjadi 10 kali lebih lama dari sekarang,dan kepanasan matahari akan membakar seluruh tumbuhan pada waktu siang dan pada waktu malam pula, kehidupan yang ada ini akan membeku.

Matahari, sumber kehidupan ini, mempunyai suhu permukaan sebanyak 12,000 darjah Fahrenheit dan dunia ini mempunyai jarak yang optima jika dibandingkan dengan matahari supaya pancaran matahari sekadar cukup untuk memanaskan dan tidak terlalu berlebihan. Jika matahari memancar cahaya dengan kadar sebanyak 50% kurang dari yang ada sekarang, kita akan kebekuan dan jika ianya memancarkan 50% lebih pancaran, kita akan terbakar.

Kecondongan bumi sebanyak 23 darjah memberikan bumi 4 musim, jika bumi tidak condong sebanyak itu, wap dari lautan akan bergerak menuju utara dan selatan dan akan menyebabkan benua2 akan menjadi benua air batu. Jika bulan yang kita ada sekarang cuma berjarak sejauh 50,000 batu dari bumi dari jarak sebenarnya sekarang, air pasang surut dari lautan akan menjadi terlalu besar di mana dalam 2 kali sehari, seluruh benua di bumi akan ditenggelami air dan gunung ganang pun akan terhakis sama sekali. Jika lapisan teras bumi menjadi 10 kaki lebih tebal dari yang ada sekarang, ianya akan menyebabkan tiada lagi oksigen yang akan wujud di mana semua kehidupan akan mati. Jika lautan menjadi beberapa kaki lebih dalam dari yang ada sekarang, karbon dioksida dan oksigen akan terlarut semuanya di dalam lautan dan akan menyebabkan tiada tumbuhan lagi akan wujud. Atau jika atmosfera kita menjadi semakin tipis, sebahagian dari meteor akan terbakar di angkasa dan di bumi sebanyak berjuta2 kali dalam sehari dan akan mengenai bumi dan menyebabkan kebakaran di mana-mana jua. Disebabkan alasan-alasan di atas, tidak ada kemungkinan satu dalam berjuta-juta pun bahawa kehidupan di atas planet bumi ini terjadi secara kebetulan.

Kedua: Keadaan kehidupan itu sendiri untuk menyempurnakan tujuan kehidupan itu sendiri adalah menesfitasi akan kewujudan yang maha bijaksana. Kehidupan itu sendiri, tiada manusia yang benar2 mengerti tentang pengertiannya. Ianya tidak mempunyai berat atau dimensi, tetapi ianya mempunyai kekuatan dan daya: akar yang hidup akan memecahkan batu.

Kehidupan telah menguasai air, daratan dan udara, telah menguasai elemen dan telah membentuk dan melarutkan elemen dan membuat perubahan kepada kombinasi mereka. Kehidupan, pencipta yang telah membentuk semua kehidupan yang ada,artis yang merekabentuk setiap daunan untuk setiap pohonan dan mewarnakan setiap bunga yang ada. Kehidupan adalah ibarat pemuzik dan membuat setiap burung mempunyai lagu2 cinta mereka sendiri, serangga akan memanggil sesama mereka dalam nada beraneka mereka sendiri.

Kehidupan adalah ahli kimia yang agung, memberi rasa kepada setiap buah-buahan dan rempah ratus, dan memberi bauan kepada mawar dan bunga-bungaan lainnya, merubah air dan asid karbonik menjadi gula dan kayu dan dengan membuat demikian,menghasilkan oksigen agar setiap haiwan dapat hidup benafas. Awas, setiap tumpahan protoplasma yang hampir tidak kelihatan, lutsinar dan berbentuk seperti agar2 mampu bergerak dan mandapatkan tenaga dari cahaya matahari. Kehidupan satu sel ini menyimpan mikro-organisma kehidupan itu sendiri dan mempunyai tenaga untuk mengagih-agihkan kehidupan kepada setiap benda bernyawa amat berkuasa tetapi telalu kecil. Kuasa pada setiap tumpahannya adalah lebih besar dari tumbuhan, haiwan dan manusia itu sendiri, kerana setiap kehidupan adalah bermula darinya. Alam semula jadi tidak dapat mencipta kehidupan: batu-batuan yang panas dan kemasinan laut tidak dapat memenuhikeperluan kehidupan.

Tetapi,siapakah yang telah mengwujudkan kehidupan itu sendiri?

Ketiga: Kebijaksanaan haiwan itu sendiri telah menyuarakan akan keagungan maha pencipta yang mamasukkan naluri kedalam haiwan. Ikan Salmon menghabiskan beberapa tahun usianya di dalam lautan, akhirnya akan kembali kepada asal usul sungainya: akan berenang untuk kembali kepada sungai dan habitat di mana ia telah dilahirkan. Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke tempat asal mereka dengan begitu tepat sekali?

Jika anda mengubah ikan tersebut kepada habitat lain, ikan ini akan mengetahui bahawa dia telah tersalah haluan dan akan berusaha sekali lagi untuk berenang menentang harus untuk menghabiskan destinasinya dengan lebih tepat lagi. Adalah lebih sukar lagi untuk menyelesaikan misteri kehidupan belut. akhluk ajaib ini berhijrah apabila mencapai umur matang dari setiap kolam dan sungai di mana-mana merata dunia - dari Eropah akan menyeberangi beribu-ribu batu lautan - semuanya akan berkumpul pada lubuk yang dalam berdekatan laut Bermuda. Di sana mereka akan mengawan dan mati. Anak2 belut tanpa pengetahuan yang kita tahu kecuali hidup liar dalam lautan, walau bagaimanapun akan mengetahui jalan pulang mereka bukan sahaja persisiran pantai di mana ibu bapa mereka berasal ahkan sampai kepada setiap sungai atau kolam kecil di mana mereka berasal - menyebabkan setiap bahagian air akan sentiasa didiami oleh belut. Tiada belut Amerika yang ditangkap di Eropah dan begitu juga sebaliknya. Alam semulajadi juga telah melengahkan kematangan belut Eropah selama setahun atau lebih untuk enghabiskan jarak perjalanannya yang lebih panjang.

Dari manakah asalnya deria pengemudian mereka ini?

Keempat: manusia mempunyai lebih lagi dari naluri kehaiwanan - keupayaan untuk berlogika. Tiada haiwan yang berkebolehan untuk mengira dari 1 hingga 10 atau untuk memahami pengertian nombor-nombor itu. Di mana naluri ini adalah seumpama nota tunggal kepada seruling, indah tetapi terhad, otak manusia mempunyai kesemua nota-nota untuk semua peralatan dalam sebuah orkestra. Tidak perlu untuk menerangkan lebih lanjut tentang alasan yang keempat ini, terima kasih kepada manusia, logika ini menyebabkan manusia seperti manusia yang ada sekarang yang menerima secebis atau sedikit cetusan dari kebijaksanaan universal yang maha bijaksana.

Kelima: Kewujudan semua benda bernyawa adalah hasil dari fenomena yang diketahui pada masa ini dan tidak pada masa Darwin - keajaiban gen. Terlalu penting bagi gen yang bertanggungjawab terhadap semua manusia hidup di dalam dunia ini jika dikumpulkan di dalam suatu tempat,ruangan yang akan diambil oleh mereka tidak akan lebih dari ruangan yang diambil oleh satu jari manusia. Namun begitu, mikroskopik gen ini dan yang sebangsa dengannya kromosom, tinggal di dalam setiap sel hidup dan merupakan kunci kepada semua ciri-ciri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Satu ruangan jari manusia adalah ruangan yang kecil untuk memenuhi kesemua ciri-ciri manusia seramai dua billion orang. Walau bagaimanapun, fakta ini tidak boleh dipersoalkan lagi. Lantas bagaimanakah gen ini mengunci ciri-ciri warisan manusia dari berbagai peringkat generasi manusia dan mengekalkan psikologi setiap individu di dalam suatu ruangan yang agak kecil?. Di sini evolusi benar-benar bermula dari satu sel yang entitinya mewarisi dan membawa gen-gen. Bagaimana beberapa juta atom, terkunci sebagai mkiroskopik lampau, boleh menguasai dunia dan ianya merupakan contoh ciri-ciri yang berasal dari Kebijaksanaan Maha Agung - hipotesis dari mana lagikah yang mampu membuat ciptaan yang sedemikian rupa?

Keenam: Melalui ciri-ciri ekonomikal, kita terpaksa mengakui bahawa hanya dengan kebijaksanaan yang tidak terbatas telah melihat dan menyediakan satu sistem pengurusan sumber yang maha bijaksana. Beberapa tahun lampau satu spesis kaktus telah ditanam di Australia sebagai pagar-pagar penghalang.

Oleh kerana tidak mempunyai serangga pemusuh di Australia, pokok-pokok kaktus ini kemudiannya membiak dengan kadar yang amat tinggi sehinggakan tumbuhan ini telah memenuhi kawasan sepanjang dan sebesar England, menghalau inhabitan ke Bandar-bandar dan perkampungan, dan memusnahkan ladang-ladang. Sebagai usaha perlindungan, pakar tumbuhan dan serangga telah menjumpai sejenis serangga yang hanya semata-mata memakan pokok kaktus ini.Ianya membiak secara bebas dan tidak mempunya musuh di Australia. Serangga ini kemudiannya menguasai tumbuhan ini dan bahaya kemaraan pohonan kaktus telah berjaya dikawal hanya dengan menggunakan serangga mampu untuk mengawal pohonan kaktus untuk selamanya. Ciri-ciri kawal dan periksa (check and balance) telah lama wujud pada alam maya ini.

Mengapakah tidak ada serangga yang pantas memakan menguasai dunia ini? Ini adalah kerana meraka tidak memempunyai paru-paru seperti yang ada pada manusia, mereka bernafas melalui tiub-tiub pernafasan. Bila serangga bertambah besar, tiub-tiub pernafasan mereka tidak membesar dengan nisbah pembesaran tumbuh mereka. Oleh kerana itu, tidak pernah ada serangga yang mempunyai tubuh yang besar dimana had-had pembesaran ini telah mengekang mereka semuanya di dalam kawalan. Jika ciri-ciri pengawalan ini tidak tersedia, manusia tidak akan wujud, bayangkan kita bertemu dengan serangga yang sebesar singa!

Ketujuh: Kenyataan manusia menerima konsep kepercayaan kepada tuhan itu sendiri adalah bukti yang paling unik. Konsep ketuhanan terhasil dari tahap-tahap manusia itu sendiri, tahap yang dipanggil sebagai pemikiran.

Dengan kekuatan daya ini, manusia dan hanya manusia mampu untuk mencari bukti perkara-perkara yang ghaib. Kekuatan ini telah mengungkap segala rahsia: sesungguhnya manusia adalah sesempurna penciptaannya maka pemikiran telah menjadi kenyataan kerohaniaan. Pemikiran mampu mengesan bukti-bukti penciptaan dan tujuan penciptaan yang hakiki dan tuhan adalah segala-galanya dan tuhan tidak pernah lebih dekat melainkan dengan jiwa manusia itu sendiri. Perkara ini adalah benar dari segi saintifiknya dan juga dari segi pemikiran yang mengungkap keagungan tuhan dan ciptaannya.

READ MORE

Monday, August 4, 2008

SERUAN KEPADA MUSLIMAT

Wahai dikau yang kelumbungnya menjadi hijab yang memelihara kehormatan kami.
Suatu rahmat bagi kami, kekuatan Agama kami,asas Ummat kami.
Bibir putera-puteri kami mereguk susu di dadamu,
Sejak mulanya belajar menyebut La-ilaha illallah!
Cintamulah yang mencorakkan pemikitan kami,kata-kata kami,amalan kami,
Panahan kilat kami beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.

Wahai pemelihara ni'mat Syari'at ALLAH,
Kau yang dari nafasnya Agama ALLAH memperoleh api,
Pesolek dan pintarnya zaman ini,
Kafilahnya perompak perintang jalan lengkap bersenjata
untuk merampas dan memusnahkan harta kekayaan Agama...
Peliharalah rapi kesucian ibu negeri Ummat ini!
Usahlah bersungut memperhitungkan laba dan rugi,
Berpadalah dengan melalui Jalan yang telah lama direntasi
Leluhur kita melaluinya di zaman silam...


'Allamah Muhammad Iqbal, dalam Ramuz-i-Bekhudi

READ MORE

HIKMAH SUJUD

Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia,malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya.

Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.

Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh:
- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
- melegakan sakit hernia. (burut)
- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
- melegakan paru-paru daripada ketegangan.
- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan
lingkungan bahagian belakang tubuh.
- meringankan bahagian pelvis.
- memberi dorongan supaya mudah tidur.
- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
- mengurangkan kegemukan.
- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions) .
- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang.

Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.

READ MORE

Friday, August 1, 2008

HAKIKAT PERKAHWINAN

Mengapa berkahwin??

Membendung Perbuatan Maksiat

Rasulullah s.a w bersabda yang bermaksud:

"Wahai para pemuda, barang siapa di antara kamu ada yang telah sanggup berkahwin,maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya berkahwin itu dapat ,menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, sebab berpuasa itu sebagai benteng(dapat menahan nafsu)"

Mata adalah punca perbuatan maksiat. Bila pandangan dilepas dan terlihat sesuatu yang menarik (wajah perempuan, dan lain-lain) nafsu akan meledak dan mendorong syahwat.Pandangan adalah umpama panah yang terlepas dari busar panah iblis, bila mengena pada sasaran, implikasinya sangat merbahaya! Supaya syahwat tidak bergelojak, individu yang tidak mampu berkahwin digalakkan berpuasa, kerana dengan berpuasa, kadar gelodak nafsu dapat diturunkan.

Sunnah Nabi

Kahwin adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang patut
dicontohi.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukanlah dari golonganku.Sebahagian dari sunnahku adalah berkahwin,oleh kerana itu siapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksanakan sunnahku".

Mendapatkan Zuriat

Salah satu tujuan berkahwin adalah untuk mendapat zuriat yang salih.Dengan memiliki
anak yang salih itu ibubapa akan mendapat pahala yang mengalir dalam kuburnya berkat doa anak-anak.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila seseorang manusia telah meninggal dunia, putuslah semua amalnya kecuali tiga sahaja, iaitu sedekah jariah,ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang berdoa untuknya"

Sekumpulan orang perempuan datang menghadap Rasulullah s.a.w. untuk minta nasihat dari beliau.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap perempuan di antara kamu yang melahirkan tiga orang anak, maka mereka (anak-anak itu) akan menjadi penghalang baginya dari api neraka".

Perempuan-perempuan itu bertanya: "bagaimana kalau melahirkan dua orang anak?".

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya, dua orang anakpun demikian juga".

Meramaikan Umat Islam

Bila orang Islam berkahwin, maka akan lahir pulalah generasi yang baru dan meneruskan perjuangan umat Islam.Dengan itu dunia ini tidak akan pernah kosong dari umat Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: "Berkahwinlah kamu agar dapat melahirkan keturunan.Sesungguhnya saya akan berbangga pada hari kiamat jika kamu menjadi umat yang teramai (daripada umat-umat lain)".

(H.R.Al-Baihaqi)

Allah s.w.t. berfirman: Ertinya:

"Tuhan telah menjadikan dari kamu itu pasangan suami isteri dan dari pasangan suami isteri itu pula lahirnya anak-anak dan cucu-cicit(keturunan yang banyak)".

(Q.S. An.Nahl:72)

Gandaan Pahala & Berkat

Ibadah orang yang berkeluarga dan dengan ibadah orang yang tidak berkeluarga adalah berbeza di segi pahalanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Dua rakaat yang dilakukan oleh orang berkeluarga lebih afdal daripada tujuh puluh rakaat orang yang hidup membujang".

(Dikemukakan oleh Ibnu Ady dari Abu Hurairah termaktub dalam kitab Al_kamil) (Tuhfatul Aris Wal 'Arusy, 67)

Disamping itu pahala seorang laki-laki didapat juga pada semua harta yang digunakan untuk membelanja isteri dan anak-anak,kerana semua harta,fikiran dan tenaga yang digunakan untuk menguruskan keluarga dikira sebagai sedekah.

"Barang siapa yang membiayai penghidupannya sendiri dengan niat isti'faf(tidak meminta-minta belas kasihan orang lain),itu adalah sedekah,dan barang siapa yang membiayai isteri,anak-anak dan sekalian ahli rumahnya adalah sedekah".

Melengkapkan Iman

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila seseorang hamba telah berkahwin, ia telah melengkapkan separuh agamanya,dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan sebahagian lagi".

(H.R.Al-Baihaqi)

READ MORE